Bahasa Melayu Kertas 2 Peperiksaan SPM 2008 - Soalan 1: Rumusan


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.




Pembabitan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas bermula pada awal 90-an sedangkan bidang tersebut telah diceburi lebih awal lagi oleh sesetengah negara lain. Pada mulanya rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada penglibatan dalam bidang angkasa lepas itu benar-benar berbaloi dengan kos tinggi yang dilaburkan. Walau bagaimanapun, persoalan itu telah terjawab apabila Malaysia diakui sebagai antara negara yang memiliki sistem komunikasi yang terbaik di dunia.

Belakangan ini, Malaysia terus mengorak langkah dalam bidang tersebut apabila melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas melalui kerjasama dengan beberapa buah negara lain. Pemilihan calon angkasawan pertama negara tidak menghadapi sebarang masalah kerana ramai peserta telah menawarkan diri untuk menyertainya. Calon-calonnya terdiri daripada pendidik, doktor, jurutera, saintis dan juruterbang. Kejayaan program ini memberikan impak yang besar kepada negara untuk terus maju dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Melalui program ini juga, negara dapat menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara yang sudah maju dalam bidang tersebut. Secara tidak langsung, kerjasama dengan negara-negara terbabit membolehkan rakyat Malaysia mencontohi cara mereka bekerja dalam bidang tersebut.

Masyarakat, yang pada suatu ketika dahulu ragu-ragu akan manfaat penerokaan angkasa lepas, kini menerima hakikat bahawa sistem komunikasi yang semakin canggih ialah hasil daripada penerokaan angkasa lepas. Kecanggihan sistem komunikasi ini, seperti penggunaan internet, telah menyebabkan bidang perniagaan dan pemasaran semakin meluas. Kita boleh mencontohi negara-negara maju yang menggunakan internet untuk tujuan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Selain itu, peluang pekerjaan dan perkhidmatan turut berkembang seiring dengan perkembangan sistem komunikasi ini.

Satu lagi bukti pembabitan Malaysia dalam bidang angkasa lepas ialah pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas. Menerusi pelancaran satelit ini, sistem komunikasi negara terus berkembang maju yang akhirnya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat. Kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui satelit. Sesungguhnya, kejayaan dalam penerokaan angkasa lepas ini bukan sahaja dapat memperluas bidang tersebut, tetapi turut memberikan suntikan dalam perkembangan bidang-bidang lain seperti pendidikan, penyelidikan, dan perubatan. Program penerokaan angkasa lepas ini mempunyai peluang cerah untuk berkembang pada masa hadapan. Oleh sebab itu, langkah yang sistematik harus diambil supaya suatu hari nanti Malaysia dapat melahirkan lebih banyak angkasawan bagi membuktikan kehebatan negara dalam bidang angkasa lepas.

                                                                                               Dipetik dan diubahsuaikan daripada
                                                                               'Meneroka Angkasa Lepas' oleh Haslin Ghafur,
                                                                                                         Utusan Malaysia, 26 Mei 2006

Rangka jawapan.


     Petikan membincangkan faedah-faedah (kebaikan-kebaikan) penerokaan angkasa lepas di Malaysia.

     Faedah-faedahnya ialah __________________________. Selain itu, _________________________. Seterusnya, _______________________________. Di samping itu ____________________________.  Selanjutnya, _________________. Selain itu, _______________________________.

     Cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas ialah ___________________________________. Selain itu, ___________________________________

     Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama bagi menyokong/meningkatkan (cadangan) _______________ (tajuk) agar ________________ (harapan).



Contoh jawapan di sini.

Kertas 2 Peperiksaan SPM 2007 - Soalan 1: Rumusan

Baca Petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


SPM Kertas 2


Pada masa ini Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber dan kenal jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan,antaranya termasuklah disiplin murid di sekolah-sekolah.

 Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di samping ratusan aduan yang dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah disiplin dengan lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin. Selain itu , maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.

Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak sekolah bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka.

 Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan, denda,gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes itu mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin akan perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah. Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan sistem pendidikan. Kemantapan ini pula bergantung pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masing. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 (Dipetik dan diubahsuaikan daripada
 “Realiti Semasa Masalah Disiplin Pelajar”
 Oleh Noor Khairiyati Mohd. Ali

 Dewan Masyarakat, April 2005)

Rangka jawapan.


     Petikan membincangkan langkah-langkah/cara-cara/kaedah-kaedah menangani masalah disiplin di negara kita.

     Langkah-langkahnya/Cara-caranya/Kaedah-kaedahnya ialah __________________________. Selain itu, ________________________________. Seterusnya, _______________________________. Di samping itu ________________________________.  Selain itu, _______________________________.

     Kesan masalah itu kepada negara ialah ___________________________________. Selain itu, ___________________________________

     Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah disiplin supaya kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera.

Contoh jawapan di sini.

Teknik mengajar karangan pelajar lemah dan galus



Terdapat beberapa teknik P&P Bahasa Melayu (Penulisan) yang berkesan berdasarkan pengalaman dan aplikasi oleh guru-guru yang mengajar pelajar lemah dan Galus. Berikut adalah beberapa strategi atau cara mengajar karangan Bahasa Melayu bagi pelajar lemah dan GaLus.

Teknik 1

Edar contoh karangan lengkap kepada murid. Guru baca bersama murid. Murid menyalin perenggan demi perenggan. Semak ejaan/tanda bacaan. Edar karangan yang sama - dalam bentuk isi tempat kosong sebagai latihan.

Teknik 2

Beri gambar tunggal/bersiri. Bina ayat berdasarkan gambar. Berikan kosa kata yang dominan dengan gambar. Murid mula mengarang. Semak karangan dan kesan tanda baca dan ejaan.

Teknik 3

Edar karangan lengkap. Cari perkataan sukar, catat di papan hitam. Guru/murid - sebut/baca/ulang/terangkan makna perkataan tersebut. Guru menyebut - murid mengeja. Perbetulkan ejaan. Ambil isi karangan dalam perenggan 1 sahaja. Tuliskan di papan hitam. Bina ayat daripada isi karangan. Beri penekanan kepada pemerengganan dan tanda baca.

Teknik 4

Salin contoh karangan. Mengambil imlak. Latihan mengarang/banyak salah buat semula. Baca contoh-contoh karangan. Tampal contoh karangan dalam bilik darjah

http://sepanjang-jalan.blogspot.com/2010/01/teknik-mengajar-penulisan-bagi-pelajar.html

KAJIAN NOVEL MERENANG GELORA

WATAK & PERWATAKAN WATAK UTAMA

Badri
1.      Anak sulung kepada Mak Siti, abang kepada Badrul.
2.      Seorang pengawas sekolah
3.      Berperawakan segak, berdedikasi dan berwibawa
4.      Bertanggungjawab - sebagai seorang pengawas sekolah, Badri sedar dia harus menggalas tugas berat dan perlu menunjukkan perilaku yang baik
5.      Berdisiplin - Badri tidak pernah melanggar peraturan sekolah
6.      Menepati masa dan seorang yang sistematik - setiap hari, seawal pukul 6.40 pagi Badri sudah menunggu bas awam untuk pergi ke sekolah.
7.      Setia dalam persahabatan - Badri bersahabat baik dengan Jamil dan banyak membantunya dalam pelajaran.
8.      Berani menghadapi cabaran - Badri tidak gentar apabila berdepan dengan pelajar yang berlagak samseng, suka melanggar peraturan, ditangkap menggunakan telefon bimbit semasa di sekolah.
9.      Rajin mengulang kaji pelajaran - mengajak Siew Mei dan Taufik membentuk kumpulan belajar.
10.   Berpendirian teguh atau berprinsip - tidak mengendahkan usikan rakan-rakannya mengenai hubungannya dengan Nadira dan Siew Mei.

Bahasa Melayu SPM

WATAK SAMPINGAN

Shahrul
1.      Salah seorang rakan Badri, anak orang berada
2.      Berkawan baik dengan Kumar dan Meng Kong
3.      Berlagak dan sombong - Shahrul tidak betah tinggal di rumah teres kerana selama ini dia tinggal di rumah banglo.
4.      Materialistik - Shahrul terlibat dalam kegiatan penjualan telefon bimbit yang dicuri semata-mata untuk memperoleh wang bagi membeli barangan mewah dan berjenama.
5.      Suka berfoya-foya - bercampur gaul dengan budak-budak motor dan melepak di kompleks beli-belah.
6.      Berprasangka buruk - menganggap Badri berlagak menjadi pengawas.
7.      Panas baran - Shahrul mencekak kolar baju Kumar agar Kumar mengikut arahannya untuk menjual telefon bimbit secara ansuran.
8.      Mudah terpikat dengan gadis cantik - berani membawa keluar Nadira menunggang motosikal.
9.      Mementingkan diri sendiri – Shahrul meninggalkan Nadira keseorangan ketika polis cuba menangkap rakan-rakan mat rempitnya.
10.   Memperalat orang lain untuk tujuan jahatnya – Shahrul menyuruh Kumar untuk memasukkan sesuatu ke dalam beg Meng Kong supaya Meng Kong dibuang asrama.
11.   Pendendam – Shahrul meminta Din untuk memukul Badri bagi melepaskan dendamnya terhadap Badri.

Nadira
1.      Seorang pelajar perempuan baru berpindah dari Sekolah Menengah Badrul Shah, Kedah yang mengikut ayahnya bertugas di Kuala Lumpur.
2.      Sahabat Badri dan Shahrul dalam kelas 5 Bestari.
3.      Tidak berpendirian tegas - Nadira mudah dipengaruhi Shahrul untuk mempercayai kes telefon bimbit yang dijumpai di dalam beg Badri.
4.      Mengalami kejutan budaya - setelah berada di Kuala Lumpur dan berkawan dengan Shahrul, Nadira memakai jeans ketat dan baju senteng.
5.      Ego dan sombong - bersikap bena tidak bena akan nasihat Badri agar tidak terpengaruh dengan Shahrul yang suka menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah.
6.      Tidak mendengar nasihat - Nadira enggan menerima nasihat kakaknya, Nurul Ain yang menegur tentang penampilannya.
7.      Tidak menghormati orang lain – meninggikan suara ketika kakaknya menegur tentang pakaiannya yang agak terdedah dan mencolok mata.
8.      Suka membazirkan masa – sering membazirkan masa dengan bersiar-siar dan melepak di kompleks beli belah bersama-sama Shahrul.

Meng Kong
1.      Anak kepada Encik Tan, pemilik kedai telefon bimbit.
2.      Rakan kepada Shahrul dan Kumar
3.      Tidak jujur - Meng Kong mencuri kad prabayar dan telefon bimbit lalu dijual kepada pelajar di sekolahnya.
4.      Mata duitan atau materialistik - Meng Kong sanggup mencuri telefon bimbit di kedai ayahnya untuk mendapatkan wang sehingga mencecah hampir dua ribu ringgit.
5.      Insaf akan kesalahan yang dilakukan - setelah bapanya mengetahui perbuatan jahatnya melalui rakaman CCTV, dia memohon maaf daripada ayahnya dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.
6.      Patuh dan taat kepada ibu bapa - Meng Kong sanggup tinggal di asrama sekolah sepertimana yang diarahkan oleh bapanya.

Kumar
1.      Rakan kongsi kepada Shahrul dan Meng Kong dalam perniagaan menjual telefon bimbit dan kad prabayar kepada pelajar sekolah.
2.      Menyimbah air ke atas Badri semasa Badri di dalam tandas.
3.      Benci dan marah terhadap Badrul yang menyebabkan telefon bimbitnya dirampas oleh Cikgu Jailani.
4.      Mata duitan atau materialistik – Kumar bersama dua rakan karibnya Shahrul dan Meng Kong terlibat dalam kegiatan penjualan telefon bimbit dan kad prabayar untuk memperoleh wang lebih.
5.      Mudah dipergunakan oleh orang lain – Kumar cuba memfitnah Meng Kong supaya Meng Kong dibuang asrama atas arahan Shahrul.
6.      Insaf akan kesalahan yang dilakukan – Tidak mahu lagi dipergunakan oleh Shahrul. Sedar bahawa dia telah banyak ketinggalan dalam pelajarn.
7.      Berubah menjadi baik setelah beberapa kali diberi sesi kaunseling – mula akrab dengan Badri dan mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

Jamil
1.      Kawan baik kepada Badri. Menasihati Badri tentang risiko menjadi pengawas.
2.      Terlibat dalam bisnes menjual telefon bimbit terpakai dan kad prabayar yang dijalankan oleh Shahrul, Meng Kong dan Kumar.
3.      Menjauhkan diri daripada Badri setelah Badri mengetahui kegiatannya.
4.      Kelurganya menghantar Jamil ke Sarawak setelah mendapati dia mempunyai masalah dengan kumpulan Shahrul, Meng Kong dan Kumar.
5.      Insaf akan kesalahan yang dilakukan - berhenti daripada menjual barangan milik
6.      Meng Kong setelah Meng Kong menuduhnya mencuri telefon bimbit.

Cikgu Jailani
1.      Guru Matematik dan guru disiplin sekolah.
2.      Tegas - dia mengambil tindakan tegas kepada pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin.
3.      Adil - mengarahkan supaya para pengawas mengawasi kawasan sekitar sekolah secara bergilir-gilir dalam bentuk berpasukan yang terdiri daripada 3 orang pengawas.
4.      Rasional - menyelidiki kes Badri disiram air ketika berada di dalam tandas dan kes telefon bimbit yang dijumpainya di dalam beg Badri.

5.      Bertolak ansur - meskipun Kumar kerap melakukan kesalahan tetapi setelah Kumar memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya, akhirnya cikgu Jailani tidak menggantung persekolahannya.

Analisis Soalan Karangan SPM 2009 - 2014



KATEGORI KARANGAN SPM 2009 – 2014
KATEGORI DIRI / INDIVIDU / REMAJA
TAHUN
SOALAN
2009 (J)
Anda telah memohon biasiswa setelah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Sehubungan dengan itu, anda perlu menghadiri temu duga bagi mendapatkan biasiswa tersebut. Jelaskan perkara-perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan anda berjaya dalam temu duga tersebut.
2009 (N)
Aktiviti bercucuk tanam untuk keperluan harian di sekitar kawasan rumah seperti penanaman cili, serai dan sayur-sayuran perlu digalakkan dalam kalangan masyarakat. Huraikan kebaikan-kebaikannya
2010 (J)
Anda telah menyertai satu pasukan sukarelawan yang membantu mangsa bencana alam. Ceritakan pengalaman anda semasa menjalankan tugas tersebut.
2010 (N)
Anda telah dilantik sebagai pengawas sekolah. Sebagai pengawas, bincangkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin.
2011 (J)
Setiap individu digalakkan supaya mempunyai bagi mengisi masa lapang. Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada sesuatu hobi.
2011 (N)
Setiap individu perlu mempunyai wawasan untuk mencapai cita-citanya. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk merealisasikan cita-cita anda.
2012 (J)
Kejayaan seseorang anak lebih baik ditentukan oleh anak itu sendiri daripada ditentukan oleh ibu bapa.
Bincangkan.
2012 (N)
Setiap tahun sekolah anda menganjurkan pelbagai program motivasi dan anda sering terlibat dalam program-program tersebut. Berikan pendapat anda tentang faedah-faedah menyertai program motivasi.
2013 (J)
Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Begitulah tingginya nilai kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
2013 (N)
Akhlak yang terpuji amat penting dalam kehidupan. Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk membentuk akhlak yang terpuji dalam diri seseorang.
2014 (J)
Penduduk di tempat anda tinggal telah megadakan majlis sambutan hari keluarga. Ceritakan penglibatan anda menjayakan majlis Hari Keluarga di tempat anda tinggal.
KATEGORI SERANTAU/ GLOBAL/ ANTARABANGSA
TAHUN
SOALAN
2009 (J)
TIADA
2009 (N)
Pemanasan global telah menjadi isu antarabangsa.Sehubungan dengan itu,anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah ‘Kesan-kesan pemanasan global terhadap bumi dan hidupannya’ Tulis rencana itu selengkapnya.
2010 (J)
Semua pemimpin negara wajar menjalin hubungan baik antara satu sama lain. Jelaskan manfaat-manfaat yang diperoleh melalui hubungan baik antara para pemimpin dunia.
2010 (N)
Penyakit berjangkit seperti selsema burung, influenza A (H1N1) dan meningitis atau radang otak telah menjadi isu global. Huraikan langkah-langkah yang per;u diambil oleh negara-negara di dunia untuk menangani wabak penyakit tersebut.
2011 (J)
Malaysia berhasrat untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan antarabangsa. Jelaskan langkah-lanhkah yang perlu dilakukan untuk merealisasiakan hasrat tersebut.
2011 (N)
Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) membolehkan masyarakat dunia kini berkomunikasi dan memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, cepat dan murah. Bincangkan.
2012 (J)
Penduduk dunia sering diancam bencana alam seperti banjir, kemarau, gempa bumi dan tsunami. Huraikan bantuan-bantuan yang perlu dihulurkan oleh negara-negara di dunia kepada negara-negara yang menghadapi bencana tersebut.
2012 (N)
Produk makanan halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai produk yang terjamin kebersihan dan kesuciannya. Jelaskan kebaikan-kebaikan yang diperoleh melalui penghasilan produk makanan halal ini.
2013 (J)
Anda ingin menyertai pertandingan pidato yang diadakan sempena sambutan Hari Keamanan Sedunia. Tajuk pidato anda ialah “Keamanan Dunia Milik Masyarakat Sejagat’. Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.
2013 (N)
Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa membawa pelbagai kebaikan kepada Negara penganjur. Bincangkan.
2014 (J)
Perubahan cuaca dunia yang tidak menentu perlu diberikan perhatian. Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan pada antarabangsa untuk menangani perkara tersebut.
KATEGORI MASYARAKAT/ KERAJAAN/ NEGARA
TAHUN
SOALAN
2009 (J)
Aktiviti sukan lasak seperti berkhayak, berbasikal lasak dan memanjat dinding semakin menarik minat masyarakat. Huraikan kebaikan-kebaikan menyertai aktiviti sukan lasak.
2009 (N)
Pengetahuan tentang sejarah penubuhan negara kita amat penting difahami oleh setiap rakyat demi memupuk rasa cinta akan negara. Jelaskan pernyataan di atas.
2010 (J)
Isu kenaikan harga barang keperluan harian perlu ditangani kerana kenaikan itu menimbulkan pelbagai kesan terhadap rakyat di negara ini. Tulis sebuah rencana yang bertajuk ‘Peranan pelbagai pihak dalam mengatasi isu kenaikan harga barang’.
2010 (N)
Negaraku Tanah tumpahnya darahku Rakyat hidup bersatu dan maju Rahmat bahagia Tuhan kurniakan Raja kita selamat bertakhta. Lirik lagu Negaraku di atas antaranya menyentuh soal perpaduan, kesyukuran dan taat setia rakyat kepada raja dan negara. Huraikan peranan setiap rakyat Malaysia dalam menjamin kesejahteraan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam lirik tersebut.
2011 (J)
Industri kraftangan seperti anyaman, ukiran dan tenunan semakin berkembang dan mendapat perhatian. Sehubungan itu anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk ‘Potensi Industri Kraftangan di Malaysia’. Tulis rencana itu selengkapnya.
2011 (N)
Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah anda. Tajuk syarahan anda ialah ’Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran negara’. Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.
2012 (J)
1. Pertambahan saluran televisyen seperti NTV 7, TV8 dan Astro amat mempengaruhi kehidupan masyarakat di negara kita. 
Berikan pendapat anda tentang kebaikan dan keburukannya. 

2. Anda ingin menyertai satu pertandingan syarahan bersempena dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan. Tajuk syarahan anda ialah ’Pertanian Satu Perniagaan’.
Tulis teks syarahan itu sepenuhnya.
2012 (N)
Gunakanlah bahasa kebangsaan kita Marilah amalkan ramai-ramai Bahasalah menyatukan kita semua Yakinkan bahasa jiwa bangsa. Rangkap di atas merupakan sebahagian daripada lirik lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa”. Huraikan kepentingan bahasa kebangsaan kepada Negara kita.
2013 (J)
Hasrat kerajaan untuk mencapai status Negara maju memerlukan persediaan dalam pelbagai aspek. Jelaskan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
2013 (N)
Malaysia berhasrat untuk melahirkan rakyat berminda kelas pertama, iaitu rakyat yang berilmu, bersahsiah terpuji dan mempunyai daya saing yang tinggi. Huraikan kebaikan-kebaikan yang diperoleh jika Negara kita mempunyai rakyat berminda kelas pertama.
2014 (J)
Perkembangan pelbagai bidang industri di Negara kita seperti industri automotif, perbankan dan pelancongan telah membuka banyak pekerjaan kepada rakyat. Ulas pernyataan di atas.
DIMENSI KELUARGA
TAHUN
SOALAN
2009 (J)
Anda mengambil bahagian dalam satu pertandingan syarahan. Tajuk yang anda pilih ialah ‘Keluarga Bahagia Penentu Kecemerlangan Anak-Anak’.
Tulis syarahan itu selengkapnya.
2009 (N)
Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
2010 (J)
Amalan meraikan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu,Hari Bapa dan hari lahir setiap ahli keluarga semakin popular dalam kalangan masyarakat di negara kita. Huraikan kepentingan meraikan hari tersebut.
2010 (N)
Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Jelaskan tanggungjawab yang sepatutunya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.
2011 (J)
Sesetengah pihak berpendapat bahawa ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak yang meningkat remaja berbanding dengan perhatian yang diberikan semasa anak-anak di sekolah rendah.
Berikan komen anda.
2011 (N)
Perlakuan negatif seperti pergaulan bebas, merokok dan melepak dalam kalangan remaja semakin membimbangkan semua pihak. Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.
2012 (J)
Kerjaya seseorang anak lebih baik ditentukan oleh anak itu sendiri daripada ditentukan oleh ibu bapa. Bincangkan.
2012 (N)
Kebersihan kawasan sekitar penting untuk kesihatan dan keselesaan hidup. Walaubagaimanapun, masih terdapat segelintir anggota masyarakat yang mengabaikan aspek kebersihan ini. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk ‘Menjaga Kebersihan Tanggungjawab Kita Bersama’. Tulis rencana itu selengkapnya.
2013 (J)
Masyarakat pada masa ini dikatakan kurang bersenam dan bersukan.
Huraikan usaha-usaha yan dapat dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menggalakkan masyarakat bersenam dan bersukan.
2013 (N)
Amalan pengambilan makanan segera dan makanan ringan kurang sesuai untuk kesihatan anak-anak yang sedang membesar. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk ”Peranan ibu bapa dalam mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan dalam kalangan anak-anak. Tuliskan rencana itu selengkapnya.
2014 (J)
Penjagaan terhadap warga tua sepatutnya diberikan keutamaan oleh ahli keluarga. Berikan hujah-hujah anda untuk menyokong pernyataan di atas.
KATEGORI SASTERA
TAHUN
SOALAN
2009 (J)
TIADA
2009 (N)
Anda telah membaca sebuah novel yang mengandungi banyak pengajaran. Berdasarkan novel tersebut,jelaskan pengajaran-pengajaran yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan.
2010 (J)
Jika ilmu dikaji teliti
Di sungai cabaran tersedia titi
Ilmu dituntut dengan tabah
Yakin diri bertambah-tambah



Petikan gurindam menggambarkan ilmu sangat penting dalam kehidupan. Bincangkan kelebihan orang yang menguasai pelbagai imu.
2010 (N)
Peribahasa ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ membawa maksud bahawa jika ada azam dan usaha, pasti ada kejayaan.
Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.
2011 (J)
Pula Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga


Pantun di atas bermaksud budi dan jasa baik seseorang akan tetap dikenang walaupun sudah meninggal dunia. Tuliskan sebuah cerita berdasarkan maksud pantun tersebut.
2011 (N)
Cari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setia kawan.


Petikan gurindam di atas menjelaskan kepentingan memilih sahabat. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sahabat yang baik.
2012 (J)
Peribahasa ’Bertangguh itu pencuri masa’ membawa maksud bahawa melengah-lengahkan sesuatu pekerjaan itu akan merugikan diri-sendiri. Berdasarkan maksud peribahasa tersebut, jelaskan kepentingan-kepentingan menguruskan masa dengan baik.
2012 (N)
Peribahasa ‘Air dicincang tidak akan putus’ bermaksud bahawa hubungan kekeluargaan tidak akan terputus walaupun berlaku perselisihan faham antara anggota keluarga. Tulis sebuah cerita berdasarkan maksud peribahasa tersebut.
2013 (J)
Anda telah menonton sebuah drama yang disiarkan di televisyen. Drama tersebut meninggalkan kesan yang mendalam kepada anda. Ulas aspek-aspek drama tersebut yang meninggalkan kesan kepada anda.
2013 (N)
Anda ingin menulis sebuah cerita yang bertemakan penghargaan terhadap jasa guru untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tuliskan cerita tersebut selengkapnya.
2014 (J)
Negara kita yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, kaya dengan pelbagai budaya seperti makanan, pakaian, tarian dan alatan muzik.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan untuk memastikan generasi muda dapat mengamalkan, menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya ini.

BM SPM

More »

BM PT3

More »