Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim
antara lain menjelaskan bahawa pada masa ini orang Melayu sudah hilang budaya
dan warisannya. Tambah beliau, orang Melayu sudah hilang bahasanya. Mereka juga
sudah hilang pelbagai aspek dalam budaya dan menjadi pak turut budaya barat.
Isu tentang bahasa dan kecelaruan berbahasa yang dialami di
negara ini ternyata bukan mudah untuk diselesaikan. Ia berkait rapat dengan
osmosis budaya, keyakinan dan kerapuhan jati diri dalam kalangan masyarakat di
Malaysia terutama golongan muda yang menganggap isu bahasa sangat remeh dan
tidak perlu diperbesar-besarkan, sedangkan ia amat bermakna untuk mengangkat
martabat bahasa, budaya dan nama negara.
Seorang penulis, Zaitul Azma Zainon Hamzah dalam Pelita
Bahasa antara lain pernah menyebut dalam rencananya ‘Bahasa SMS menconteng
bahasa standard’ bahawa keghairahan masyarakat kini terutamanya golongan remaja
telah mengikis keupayaan bahasa rasmi negara untuk berada di tahap yang
sepatutnya.
Kegilaan remaja dengan bahasa SMS, bertutur bercampur aduk antara
bahasa sendiri dengan bahasa asing memburukkan keadaan dan menjejaskan imej
bahasa sendiri. Malah, dalam rancangan-rancangan realiti televisyen yang
berbahasa Melayu juga mengalami nasib yang sama seolah-olah bahasa Melayu tidak
berperanan langsung.
Penulis yang berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu
selama 30 tahun dapat menyaksikan pelbagai ragam anak-anak murid dan bekas
anak-anak murid apabila bertemu semula dengan penulis. Walaupun mendapat
pangkat A dalam subjek tersebut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu masa
dahulu, jika bertemu semula dan bertutur dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa
Melayu mereka sudah mula tunggang-langgang, bercampur-aduk dengan istilah asing
dan sebagainya.
Sikap pelajar-pelajar yang mempelajari bahasa Melayu hanya
untuk mendapat sekeping sijil sahaja tambah memburukkan keadaan. Selepas lulus
atau mencapai kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu, mereka mengabaikan
bahasa Melayu.
Pernah berlaku seorang juri rancangan realiti televisyen
memberitahu penonton bahawa beliau menggunakan bahasa Inggeris ketika memberi
komen kerana rancangan itu bukan hanya disaksikan oleh orang Melayu tetapi
turut digemari oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia.
Alasan ini tidak kukuh kerana semua bangsa boleh bertutur
dalam bahasa Melayu di negara ini kerana subjek Bahasa Melayu wajib dipelajari
oleh semua pelajar.
Kongres Budaya 2017 yang bakal diadakan 15 April nanti
dijangka dapat merungkai pelbagai permasalahan tentang bahasa dan budaya di
negara ini yang sedang meruncing. Perbincangan mesti dilakukan untuk mencapai
kata sepakat bagaimana mahu mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu dalam arus
pemodenan yang pesat, disertai kemasukan pelbagai teknologi dari luar, pertembungan
budaya, bahasa dan sebagainya.
Usaha-usaha juga mesti dilakukan untuk melindungi budaya
yang diwariskan sejak-temurun tanpa menolak kemasukan budaya luar. Pengaruh
budaya luar dapat ditangkis dengan kemantapan jati diri dan budaya tempatan
yang sudah lama berakar umbi dalam diri masyarakat negara ini.
Guru-guru turut memainkan peranan penting menaikkan imej
bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sejak di tadika sampailah ke institusi
pengajian tinggi awam dan swasta. Tugas ini bukan hanya terletak di bahu guru
subjek Bahasa Melayu sahaja, tetapi semua guru yang sewajarnya memahami
kedudukan bahasa kita yang semakin terpinggir.
Masa depan bahasa Melayu bergantung kepada pengamal dan
penuturnya. Bahasa Melayu akan mantap bukan sahaja kerana wujud pertuturan atau
komunikasi dalam kalangan masyarakat, tetapi kualiti berbahasa itu lebih
penting.
Sumber: Utusan Online
Sumber Gambar: By Asimzb - Own work, CC BY 3.0,
0 Comments