Tahun ini, Sungai Golok seperti biasa, memuntahkan air­nya dan penduduknya juga seperti biasa bersedia sejak awal. Namun kali ini berbeza, Sungai Kelantan ‘mengamuk’ luar biasa. Bermula dari Gua Musang sehingga ke Kota Bharu, semuanya terkesan dengan dahsyat.

Projek tebatan banjir yang dianggap istimewa bernilai RM266 juta sepanjang 3.5 kilometer dari Kampung Penambang sehingga ke belakang Istana Kota Lama di Kota Bharu juga tewas kepada amukan Sungai Kelantan. Ibu negeri Kelantan ini tenggelam dek bah kuning sehingga gawat semuanya. Sungai Kelantan menjadi 'kuat' selepas tiga batang sungai iaitu Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir bergabung menjadi satu di Kuala Krai. Maka disebabkan itu Kuala Krai hancur seperti tsunami.

Tiga beradik sungai, Lebir, Nenggiri dan Galas berasal dari Gua Musang. Kawasan pedalaman negeri Serambi Mekah ini. Dan umum juga mengetahui Gua Musang tidak lagi sedamai dulu. Bukit Bukaunya terutama Tanah Tinggi Lojing digondolkan. Mak cik dan pak cik yang dahulunya me­neroka tanah menanam getah sering menangis ke­rana tanah itu dihadiahkan kepada orang lain atau lebih dikenali dengan taukeh besar. Taukeh membawa wang yang banyak, jutaan ringgit nilainya. Mak cik dan pak cik ini hanya melukut di tepi gantang.

Cerita ini bukan baharu. Sering kali diulang tayang di media arus perdana dan media sosial. Ada yang sudah muak tetapi untuk tanggungjawab sosial cerita penerokaan tanah untuk diba­ngunkan sebagai tanah pertanian dan pembalakan perlu diteruskan sehingga orang yang berkuasa membuka mata.

Lazimnya setiap pendedahan yang dibuat oleh media di­nafikan oleh Kerajaan Pas Kelantan. Namun pada 23 Disember lalu, bumi yang terluka menunjukkan amarahnya. Bah kuning melanda negeri ini dan malapetaka itu dikatakan yang terburuk dalam sejarah negeri ini. Jambatan besi, jalan raya, rumah dan apa sahaja yang berada di depan air yang berwarna kuning pekat itu akan musnah. Kata penduduk kampung, beratus tan balak dibawa oleh bah itu.

Benar, dalam aspek pembalakan Kerajaan Pas Kelantan menguruskannya dengan cemerlang tetapi bagaimana pula untuk penerokaan tanah bagi pembangunan pertanian? Pembangunan tanah pertanian memberi lesen yang besar untuk membersihkan keseluruhan kawasan tanpa meninggalkan sebatang pokok pun.


Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) boleh dimanipulasi. Lihat Buletin Geoinformasi terbitan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi Universiti Teknologi Malaysia, Jld. 2, No.1, ms. 183 - 193, Mei, 1998 yang merungkai Permasalahan Dalam Mengendalikan Keperluan Laporan EIA. Untuk rekod, mangsa banjir di pesisir Sungai Golok tidak perlu membanting tulang seteruk mangsa banjir dari Sungai Kelantan untuk membuang lumpur tebal pada tahun ini.

Biar apa pun puncanya, perkara sudah berlaku, nasi sudah menjadi bubur. Alhamdulillah sejak perhubungan darat di­pulihkan sepenuhnya, bantuan tiba tidak henti-henti. Inilah solidariti anak Malaysia.

Namun satu perkara yang kurang enak, bantuan disampaikan dalam keadaan bercempera sehingga ada di antara mangsa boleh membuka kedai runcit namun tidak kurang pula yang masih mengharap kerana bantuan yang tiba ala kadar. Pada masa sama, ada juga yang ke hulu ke hilir de­ngan pacuan empat roda membawa bendera parti politik. Ada pula sayap parti politik tiba-tiba lancar program pecah tanah untuk bina rumah. Sekarang bukan masa berpolitik. Gunakan sepenuhnya Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir untuk ba­ngunkan semula negeri ini. 

Jawatankuasa ini amat penting agar bantuan diselaraskan dengan adil. Ini masanya untuk kita bersama bangunkan negeri ini tanpa mengira ideologi hijau atau biru. Pastikan alam tidak menghukum kita lagi.

Rencana dari Utusan Malaysia