Rencana - Penyalahgunaan dadah jejas moral atlet


ISU penyalahgunaan dadah dalam kalangan atlet bukanlah suatu perkara baharu. Ia bermula sejak zaman 60-an lagi apabila atlet Jerman Timur didapati mengambilnya. Se­jak itu bermulalah era para atlet dunia mengambil kesempatan me­nggunakan dadah bagi memenangi pertandingan.

Pada 1976, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah membuat keputusan melarang penggunaan steroid dalam kalangan atlet. Pada 1990, Kongres Olimpik telah memperkukuhkan Akta Penyalahgunaan Dadah dengan mengklasifikasikan anabolik ste­roid sebagai bahan terlarang. Pada 1999, IOC menubuhkan Agensi Anti-Doping Sedunia bagi menghadapi isu dadah dalam kalangan atlet dunia.

Atlet negara kita juga tidak terlepas daripada perbuatan mengambil dadah dan kebanyakannya telah dikenakan hukuman oleh pihak berwajib sukan. Banyak sebab kenapa ada atlet berani mengambil dadah walaupun sedar atau mengetahui ia salah dari segi undang-undang sukan.

Ada juga yang mengambilnya tanpa sedar. Kadang kala ia ‘dirancang’ oleh jurulatih yang inginkan anak didiknya menang dan menjuarai sesuatu pertandingan. Jurulatih sebegini biasanya mahu mendapat tempias - dikenali, menjadi rebutan atlet lain untuk berlatih di bawahnya dan juga memperoleh imbuhan lebih baik.

Sifat tamak atlet dan jurulatih yang inginkan kemenangan dengan cara apa sekali pun `menghalalkan’ penyalahgunaan dadah itu. Falsafah yang dihayati dan diikuti ialah matlamat menghalalkan cara.

Dengan memperoleh kemenangan, maka sudah tentu atlet tersebut akan mendapat habuan yang lumayan, menjadi popular dan diminati ramai. Sebenarnya cara meraih kemenangan sedemikian adalah tidak bermoral, tidak adil dan boleh diklasifikasikan sebagai suatu bentuk penipuan.

Penipuan pengambilan dadah oleh atlet telah menyebabkan dunia olahraga berada dalam keadaan membimbangkan dan tergugat. Pelari 800 meter, Lynsey Sharp dari Britain menganggap doping dalam olahraga merupakan suatu masalah besar. Ramai atlet ditangkap kerana disyaki mengambil dadah tetapi kebanyakannya terlepas daripada hukuman.

Sehingga kini, terdapat 240 atlet lelaki dan wanita dari 52 negara dilarang terlibat dengan sukan masing-masing. Lima negara teratas dengan bilangan atlet paling ramai tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sukan kerana terlibat dengan dadah adalah India – 51 orang, Rusia – 38 orang, Kenya 13 orang, Amerika Syarikat – 12 orang dan Britain – empat orang.


Sukan profesional kerap dikaitkan dengan pengambilan dadah. Jika tertangkap dan sabit hukuman kerana mengambil dadah, seorang atlet boleh dilarang mengambil bahagian dalam sukan diceburi sampai ke tahap seumur hidup. Tetapi kenapa masih ada lagi atlet yang berani melakukan perbuatan mengambil dadah yang dilarang?

Jawapannya terkandung dalam apa yang disifatkan oleh ranting Matematik sebagai teori permainan (game theory). Ia dikaitkan dengan konflik minat di antara pihak yang mengetahui keutamaan diri masing-masing tetapi bukan hasrat atau keputusan sebenar. Ianya kemudian menjurus kepada tindakan terbaik diambil bagi seorang pemain yang rasional.

Apabila seseorang atlet itu bertanding, sebenarnya ia tertakluk kepada peraturan sukan itu sendiri dan atlet berkenaan sepatutnya patuh kepada undang-undang dan peraturan permainan sesuatu sukan itu. Lebih-lebih lagi dalam sukan bertaraf Olimpik, Asia dan Komanwel, kesemua atlet yang bertanding akan berikrar untuk mengambil bahagian dengan penuh semangat kesukanan.
Ada bezanya antara semangat kesukanan dengan semangat permainan. Yang benar-benar dituntut dan seharusnya dijadikan landasan oleh semua atlet ketika bertanding ialah semangat kesukanan. Maka akhirnya, lafaz sekadar tinggal lafaz sahaja - manis di mulut tetapi dari segi tuntutan moral dan komitmen jauh sama sekali.

Kalau diamati dan dikaji bersukan menjurus kepada tuntutan prinsip moral itu sendiri iaitu ingin melahirkan ahli sukan yang hebat, berjaya dan penuh dengan sifat jujur, berani dan bermoral. Persoalan di sini adakah prinsip moral telah dinodai?
Menjadi seorang atlet dikaitkan dengan prinsip moral. Apabila seseorang bersetuju bersaing dalam pertandingan, ia seharusnya setuju mengikuti dan mengamalkan semua prinsip moral setiap masa.

Prinsip moral meliputi mematuhi peraturan pertandingan se­perti tidak mengambil dadah, tidak bergaduh dalam pertandingan, tidak bermain kasar, tidak mencaci pihak lawan dan pelbagai lagi perbuatan yang tidak bermoral.

Seorang atlet mempunyai tanggungjawab besar iaitu untuk dirinya, keluarga, rakan-rakan, organisasi, masyarakat dan negara. Tanggungjawab memang agak berat tetapi kalau dipikul dengan penuh kesedaran, sudah tentu ia mampu dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Secara hakiki, nilai moral bertanggungjawab ke atas semua gelagat dalam dunia sukan. Pe­ranan peraturan spesifik sukan seharusnya dapat membantu dan menjadi panduan kepada atlet yang bertanding.
Semangat kesukanan perlu dititikberatkan setiap masa yang meliputi fair play, kesihatan, kecemerlangan prestasi, sahsiah dan pendidikan, kerja berpasukan, dedikasi dan komitmen, hormat kepada peraturan dan undang-undang, hormat kepada diri dan para peserta.

Setakat ini pihak WADA (Badan Pencegahan Dadah Dunia Sukan) telah secara proaktif mengekang masalah pengambilan dadah di kalangan atlet dunia daripada berleluasa tetapi masih banyak yang perlu dilakukan oleh badan itu dan badan-badan sukan seluruh dunia yang lain bagi mengatasi­nya.

Daripada 267,000 ujian dadah yang dilakukan di seluruh dunia pada 2013, cuma 1.19 peratus sahaja yang didapati positif dan 0.57 peratus masih memerlukan siasatan dan ujian selanjutnya.

Bagi mengatasi masalah pengambilan dadah di kalangan atlet untuk jangka panjang, pelbagai pihak harus memainkan peranan yang serius. Ini termasuklah memberi pendidikan awal kepada atlet dari peringkat sekolah tentang bahaya pengambilan dadah dan kesan pada kesihatan, keluarga dan masyarakat. Persatuan sukan, ibu bapa, agensi kerajaan dan masyarakat juga boleh membantu bagi mengatasi masalah ini.

PENULIS ialah pesara kerajaan yang kini berkhidmat di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Kampus UiTM Seremban 3,Negeri Sembilan


Sumber rencana:  http://www.utusan.com.my


Post a Comment

0 Comments

Ad Code