BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Jika kita sedih membaca rintihan dan keluhan, lebih sedih dan menderita mangsa yang mengalaminya. Itulah ungkapan kepada suasana yang berlaku di negeri-negeri yang sedang dilanda banjir terutama di Kelantan, negeri yang mendapat jolokan sebagai negeri Serambi Mekah.
Banyak kawasan di Kelantan dilanda banjir. Kota Bharu Bandar Raya Islam tenggelam. Stadium Sultan Muhammad IV yang pernah mencatat rusuhan ketika perlawanan bola sepak dan mencetuskan doa kontroversi akibat fahaman politik berbeza turut tenggelam. Stadium bertukar menjadi kolam. Sama ada ia dianggap satu kemurkaan Allah untuk membasuh dosa atau sebagai bencana akibat kerakusan manusia terhadap alam, akhirnya kita harus menerima hakikat sebagai ketentuan dan kehendak-Nya. Manusia tidak mampu menghalang. Kita hanya mampu bertawakal setelah berusaha dan berikhtiar untuk mencegah atau melakukan sesuatu di atas muka bumi ini ke arah kebaikan.
Akhirnya kita terpaksa berserah kepada qada dan qadar. Ingatlah, umat Melayu beragama Islam merupakan majoriti mangsa banjir ini. Anggaplah bencana ini ada hikmah. Kita bersatu menghulurkan bantuan yang termampu, mengadakan solat hajat, tahlil dan berdoa bersama di masjid dan surau. Kebanyakan negeri membatalkan perayaan tahun baharu 2015. Bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar Kelantan, Terengganu dan Pahang hanya mampu berdoa dan melihat. Pada masa yang sama, mereka juga menggerakkan usaha untuk mengatur bantuan berupa pakaian, makanan, minuman, ubat-ubatan dan sebagainya. Syukurlah rakyat Malaysia menunjukkan semangat solidariti dalam menghadapi saat-saat sukar ini. Tidak dapat diceritakan di sini mengenai penderitaan mangsa banjir. Cukup sudah kita mendengar, membaca dan melihat pelbagai berita berkaitan banjir terutama yang masuk di telefon bimbit kita sama ada dalam bentuk teks, gurindam, gambar dan video.
Ada sahaja berita cemas di sana sini yang menyatakan mangsa terperangkap. Malangnya ada juga berita atau khabar ‘sampah’ yang memualkan masuk ke dalam telefon bimbit kita melalui WhatsApp atau Telegram. Mungkin ini satu tabiat orang Malaysia yang suka ‘bercerita’ walaupun satu rekaan. Jangan disulitkan keadaan dengan berita-berita yang tidak sahih yang melibatkan nyawa manusia. Adalah lebih baik menyebarkan kata-kata semangat kepada mangsa serta rayuan menghulur bantuan. Ketika pihak berkuasa bertungkus lumus membantu gerakan menyelamat, mereka juga terpaksa menjawab dan menguruskan berita-berita ‘sampah’ yang tidak sahih. Memanglah berita sebegini tidak boleh didapati di akhbar kerana kesahihannya diragui. Eloklah kita mendapat pengesahan terlebih dahulu sebelum menyebarkannya. Kita tidak nafikan, melalui maklumat itu, pihak-pihak berkenaan dapat bertindak menyelamatkan mangsa sekiranya mendapat maklum balas mengenai lokasi mangsa yang terperangkap.
Ada sahaja berita cemas di sana sini yang menyatakan mangsa terperangkap. Malangnya ada juga berita atau khabar ‘sampah’ yang memualkan masuk ke dalam telefon bimbit kita melalui WhatsApp atau Telegram. Mungkin ini satu tabiat orang Malaysia yang suka ‘bercerita’ walaupun satu rekaan. Jangan disulitkan keadaan dengan berita-berita yang tidak sahih yang melibatkan nyawa manusia. Adalah lebih baik menyebarkan kata-kata semangat kepada mangsa serta rayuan menghulur bantuan. Ketika pihak berkuasa bertungkus lumus membantu gerakan menyelamat, mereka juga terpaksa menjawab dan menguruskan berita-berita ‘sampah’ yang tidak sahih. Memanglah berita sebegini tidak boleh didapati di akhbar kerana kesahihannya diragui. Eloklah kita mendapat pengesahan terlebih dahulu sebelum menyebarkannya. Kita tidak nafikan, melalui maklumat itu, pihak-pihak berkenaan dapat bertindak menyelamatkan mangsa sekiranya mendapat maklum balas mengenai lokasi mangsa yang terperangkap.
Bagaimanapun jangan melampau dalam mengirim berita-berita yang tidak benar ini. Tapis dahulu. Salah satu yang menarik perhatian ialah gurindam seorang ibu mengenai bayinya yang meninggal dunia dan cerita tersepak mayat yang bergelimpangan sesudah banjir surut. Jika benar, pihak berkuasa pastinya tidak akan menyembunyikannya. Masalahnya rakyat Malaysia memang gemar dan mudah percaya cerita-cerita begini. Ada juga laporan berunsur fitnah mengaitkan politik dengan bantuan. Wujud persepsi buruk mengenai bantuan. Tolonglah, hentikan seketika gerakan politik dalam situasi begini. Ketika Allah murka menurunkan bala bencana, masih ada yang bercakap hal-hal politik, menghentam dan menyindir pemimpin. Sebenarnya golongan ini sepanjang masa tidak akan berpuas hati. Bagi orang Islam, wajarkah penyebaran berita palsu dan fitnah ini? Ada juga kiriman berbaur sinis terhadap pemimpin kerajaan dan kerajaan negeri Pas Kelantan. Semalam, ketika berita kehilangan pesawat AirAsia, ada juga WhatsApp yang masuk “Mujurlah pesawat yang dinaiki PM tak hilang’’. Ada juga yang mengaitkan banjir di Kelantan dengan hudud (pandangan pro dan kontra). Pihak berkuasa pula digambarkan seolah-olah tidak melakukan sesuatu dan ‘berpeluk tubuh’
Ada juga yang bertanya kenapa tidak isytiharkan darurat? Eloklah pihak berkuasa mengambil inisiatif supaya orang ramai memahami mengenai pengisytiharan darurat ini. Bercakap, menyeru dan mengarah memang mudah tetapi untuk bertindak dan melaksanakannya bukan sekadar ‘serbu dan redah’. Ini banjir terburuk yang pernah berlaku walaupun ada pihak mendakwa, bencana ini bukan yang terburuk! Kadang-kadang pandangan yang diberi menggambarkan pasukan keselamatan kita tidak cekap menyusun strategi dan tidak layak berada di lapangan.
Banyak halangan yang menghalang bantuan sampai segera. Ini satu pengalaman yang perlu dijadikan iktibar supaya kita lebih bersedia pada masa hadapan. Adakah peralatan seperti bot penyelamat yang ada sesuai dengan keadaan banjir? Adakah pusat menyimpan stok makanan mencukupi dan berada hampir di kawasan berisiko? Adakah pasukan penyelamat benar-benar terlatih menghadapi bencana seumpama ini? Ada juga kirimanWhatsApp mengenai gambar sebuah kapal selam sedang melintasi kawasan banjir. Apakah tujuannya? Bergurau ketika keadaan sukar? Berilah ruang kepada pihak berkuasa menangani keadaan ini. Jangan diperkecil dan dipersendakan.Kita tahu ramai yang terpaksa lari sehelai sepinggang. Mereka menyelamatkan diri ke kawasan berbukit, tanpa makanan dan minuman. Ibarat tsunami 2004, kita sedar ramai yang hilang kediaman, kenderaan, harta benda dan banyak lagi. Kita perlu berusaha untuk membangunkan semula apa yang musnah. Syukurlah, dalam menghadapi bencana ini, sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik menunjukkan semangat solidariti untuk membantu mangsa.
Selepas ini, atas nama apa sekali pun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, syarikat swasta, persatuan penduduk dan apa sahaja, bersedialah untuk menghulurkan bantuan pasca banjir. Tenaga kita amat diperlukan ketika bantuan pemulihan dan pembangunan semula. Jangan bantuan kita terhenti sekadar wang ringgit, pakaian, makanan dan perubatan semasa banjir. Banyak rumah yang perlu dibina semula atau diperbaiki. Begitu juga dengan masjid, surau, sekolah, jambatan, jalan raya, longkang, parit, kemudahan awam dan pelbagai lagi yang tidak mampu diurus bersendirian oleh kerajaan atau pihak berkuasa tempatan. Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Redalah dengan bencana ini. Anggaplah ia satu ujian setelah kita hidup selesa sebelum ini. Banyakkan berdoa dan tidak mudah patah semangat dalam menghadapi kesulitan.
Eloklah, menjelang beberapa hari lagi jendela 2014 ditutup, kita selak semula apa yang berlaku sepajang 2014 ini. Mana yang baik jadikan teladan. Apa yang buruk jadikan iktibar untuk kita memperbaikinya. Selamat menyambut tahun baharu 2015.
Rencana dari Utusan Malaysia
0 Comments