SATU persatu isu berlaku dalam negara dan terbaru, kita digemparkan dengan isu berkaitan sistem pendidikan negara pula. Tidak dinafikan, soalan peperiksaan UPSR bocor bukanlah isu yang terlalu mengejutkan kerana saban tahun isu ini didengari.
Namun, perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana isu
ini melibatkan integriti pihak terbabit. Jangan kerana kurang sifat integriti
sesetengah pihak dalam sektor tersebut,
mengganggu dan mengaibkan sistem pendidikan negara kita. Tetapi, mengapa
perkara ini sering terjadi? Siapakah yang harus dipersalahkan?.
Usaha kerajaan
Setiap tahun kita menyambut hari integriti negara. Banyak
program disediakan khusus kepada penjawat awam bagi menanam sifat integriti
dalam diri mereka.
Namun, kenapa perkara ini berulang dan terus berulang?
Adakah segala usaha yang kerajaan lakukan langsung tidak berkesan atau itu
hanya tindakan membazir?
Jangan salahkan pihak kerajaan mahupun Kementerian
Pendidikan. Perkara ini datang daripada sifat individu itu sendiri, yang tidak
mengamalkan integriti dalam menjalankan tugas. Namun jika perkara ini terus
berlaku dan tidak dibanteras,
sesungguhnya ia mampu menghancurkan sistem pendidikan negara.
Fahami integriti
Integriti membawa maksud jujur, telus dalam melaksanakan
amanah dan tanggungjawab. Sifat amanah termasuk dalam integriti. Tanpa sikap
amanah setiap pekerjaan dan tugasan akan terganggu.
Mereka yang tidak mengamalkan sikap amanah dalam pekerjaan
dan tidak bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan boleh dikategorikan
sebagai tamak, khianat, tindas-menindas dan zalim. Hidup mereka tidak akan
diberkati dan tidak mendapat keredaan daripada ALLAH SWT.
Tanggungjawab setiap amal
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah
(wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka ALLAH
dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan
kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian Dia
menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah At-Taubah:
105)
Nyata, ayat di atas menerangkan bahawa ia adalah ancaman
daripada ALLAH bagi orang yang melanggar perintah-Nya. Ini bermakna, setiap
amal perbuatan mereka akan diperlihatkan kepada ALLAH, Rasulullah SAW dan orang yang beriman. Maka perkara ini pasti akan
terjadi pada hari kiamat kelak.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Pada hari itu
kalian akan dihadapkan (kepada Rabb kalian), tiada sesuatu pun dari keadaan
kalian yang tersembunyi (bagi ALLAH)." (Surah Al-Haaqqah: 18)
Maka kita sebagai seorang Muslim harus takut dengan ancaman
daripada ALLAH ini. Harus sentiasa berwaspada dan amanah dalam melaksanakan
tanggungjawab yang diberi. Ini kerana setiap perbuatan di dunia diperlihatkan
di akhirat kelak. Dan beriman sesungguhnya setiap perkara yang dilakukan
diketahui oleh-Nya.
Kesan buruk
Sifat tidak amanah sangat buruk kesannya, terutama dalam
sektor pekerjaan. Seperti terlibat dalam penyelewengan dan penipuan kerja yang
diamanahkan.
Jika sifat tidak amanah ini berterusan, ia mampu
memudaratkan diri dan keluarga individu itu sendiri. Justeru, rezeki yang diperoleh daripada hasil kerja
yang tidak amanah atau pecah amanah ini tidak mendapat keberkatan serta
mengundang kemurkaan ALLAH.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang
tumbuh daripada makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang selayaknya”.
(Riwayat At-Tarmizi)
Islam menuntut sifat amanah
Islam menuntut kita bersifat amanah. Islam mengajar kita
perihal akhlak yang baik dan murni. ALLAH telah mengutuskan Rasulullah SAW
kepada kita untuk mengajar dan memberi pertunjuk mengenai akhlak yang mulia dan
terpuji.
Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya
aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak." (Riwayat Bukhari)
Namun mengapa kita sebagai umat Islam tidak mempraktikkannya
dalam kehidupan seharian. Mengapa acap kali berlakunya masalah pecah amanah
mahu pun rasuah ia berkaitan dengan masyarakat Islam kita.
Bukankah Islam agama yang mulia dan menekankan nilai murni
yang mulia. Banyak hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW tentang sifat
amanah. Begitu juga dalam al-Quran, banyak ayat yang menjelaskan tentang
kemurkaan ALLAH SWT terhadap sifat tidak amanah tersebut.
Amanah sebahagian iman
Amanah adalah tuntutan iman. Orang yang amanah adalah orang
yang sentiasa menjaga imannya. Orang yang amanah juga adalah seorang yang patuh
pada undang-undang dan berpegang dengan janji-janjinya.
Sabda Rasulullah SAW: "Tiada iman pada orang yang tidak
menunaikan amanah, dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan
janji." (Riwayat Al-Iman Al-Munziri, sahih)
Rasulullah SAW menjelaskan sifat amanah adalah sesuatu yang
berat dan menganggap orang yang tidak amanah adalah orang yang tidak sempurna
imannya. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak sempurna iman bagi orang yang
tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji.”
(Riwayat Ahmad)
Lawan amanah khianat
Khianat dan tidak amanah adalah dosa besar yang boleh
mendatangkan mudarat pada diri dan orang lain. Amanah adalah amalan dan
perbuatan yang diamanahkan oleh ALLAH kepada hamba-Nya dan janganlah kita
melanggar amanah ALLAH tersebut dengan meninggalkan sunnahnya dan melakukan
kemaksiatan kepada-Nya.
ALLAH berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang
beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan rasul-Nya, dan
(janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui
(salahnya)." (Surah Al-Anfaal: 27)
Dia berfirman: "Dan orang yang memelihara amanat yang
dipikulnya (amanah) dan janjinya. Dan orang yang memberi kesaksiannya. Dan
orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah (kekal) di syurga lagi
dimuliakan." (Surah Al-Ma’aarij: 32 - 35)
Barangkali ada yang lupa atau tidak tahu mengenai kerja itu
juga ibadah. Maka bertanggungjawablah pada kerja yang diamanahkan dan bersyukur
dengan kerja yang diperoleh, agar kerja tersebut menjadi ibadah, bukan mendapat
kemurkaan ALLAH.
Kerja itu ibadah
ALLAH menjadikan muka bumi sebagai tempat tinggal. ALLAH
menurunkan hujan daripada awan untuk ditumbuhkan rezeki kepada kita.
Di bumi ini ALLAH menjadikan sumber-sumber daripada hidupan
dan pendapatan. Untuk kita mengusahakan dan memperdagangkannya. Namun kebanyakan daripada kita tidak bersyukur
dengan nikmat tersebut.
Semua pihak harus memainkan peranan membanteras mereka yang
tidak bertanggungjawab dan pecah amanah kerana sifat ini mampu merosakkan
sistem pendidikan negara, merugikan masa depan anak-anak bangsa dan mengaibkan
integriti penjawat awam di Malaysia.
Semoga tahun ini akan memberi satu titik permulaan untuk
semua pihak bangkit menangani isu ‘soalan peperiksaan bocor’ ini dengan lebih
tegas dan merancang rangka kerja untuk menangani kes-kes seperti ini supaya
tidak berulang lagi.
Mungkin kerajaan boleh melaksana program kerohanian dalam
diri setiap penjawat awam (terutama yang beragama Islam) agar dapat memupuk
sifat jati diri dan integriti dalam menunaikan tanggungjawab yang diberi.
Ini bukan bermakna program-program jati diri sebelum ini
kurang baik, tetapi harus dipertingkatkan. Contoh: mengadakan tazkirah pagi
pada setiap minggu atau seumpamanya yang mampu menerapkan sifat integriti dalam
diri setiap individu.
Sumber : Sinar Harian
0 Comments