MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low
dilaporkan membuat kenyataan pada Hari Terbuka SPRM baru-baru ini bahawa
Kabinet telah meluluskan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk
menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan autonomi
yang bebas daripada Perkhidmatan Awam.
Rakyat Malaysia sudah pasti mengalu-alukan usaha-usaha yang sedang dilakukan bagi menjadikan SPRM sebuah badan yang benar-benar bebas dalam memerangi rasuah.
Ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah jurang fahaman
politik harus memberi sokongan penuh dan padu terhadap apa-apa pindaan
undang-undang untuk menjadikan SPRM benar-benar bebas dan berkesan dalam
memerangi gejala rasuah di negara ini.
Untuk memastikan bahawa SPRM benar-benar berwibawa dan
digeruni oleh semua, ia mesti diberikan kuasa sama seperti Suruhanjaya Bebas
Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong yang telah diketahui amat berkesan dalam
membanteras rasuah.
Ahli-ahli politik tanpa mengira fahaman politik dan ideologi
perlu bersatu dalam memerangi jenayah terbesar di negara ini iaitu rasuah.
SPRM harus diberi pujian terhadap usaha membanteras rasuah
setakat ini dan yang pasti mereka akan boleh melakukannya dengan lebih baik
untuk memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara jika ia boleh berfungsi
sebagai sebuah badan autonomi yang bebas daripada perkhidmatan awam.
Jika ia hendak dilihat benar-benar bebas, maka perkara
pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menempatkan semula pejabat SPRM di
luar Kompleks Perdana Menteri dan meletakkannya di tempat yang sesuai.
Rasuah telah bersama kita sejak awal pembangunan manusia.
Namun kita tidak boleh berasa lega dan leka berkaitan isu rasuah kerana ia
menyerang bukan sahaja fabrik ekonomi dan sosial masyarakat malah juga
menggugat asas-asas moral pemerintahan.
Perilaku
Rasuah adalah meluas, ia mampu menjangkau hampir dalam
setiap aspek kehidupan. Ia wujud dalam pelbagai bentuk selagi orang ramai
berinteraksi dengan pihak berkuasa.
Ia telah terbukti dalam pelbagai keadaan di mana seseorang
individu yang terlibat dengan perilaku rasuah adalah kerana tamak dan peluang
untuk melakukan amalan rasuah. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa ketamakan
merupakan faktor utama di sebalik kebanyakan perilaku amalan rasuah.
Pegawai yang terlibat dalam amalan rasuah kebanyakannya
ialah golongan yang sepatutnya bertanggungjawab bagi penguatkuasaan
undang-undang. Untuk membasmi amalan ini, semua agensi penguatkuasaan
undang-undang perlu mempunyai sistem audit dan kawalan dalaman yang boleh
mengesan penyelewengan.
Usaha berterusan perlu dilakukan untuk memupuk integriti dan
nilai-nilai etika yang tinggi kerana orang yang berintegriti tidak mungkin
melakukan amalan rasuah dalam apa jua keadaan.
Penerapan nilai-nilai murni dan etika dengan disertai kepatuhan
kepada sumpah tadbir urus yang baik adalah cara yang paling berkesan untuk
memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.
Untuk memerangi rasuah kita perlu membina insentif yang
kukuh dan segala perilaku rasuah adalah tertakluk kepada penelitian awam.
Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendidik rakyat
terhadap bagaimana mereka boleh melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab mereka
sebagai masyarakat dan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian secara aktif
dalam usaha untuk menambah baik tadbir urus negara.
Khususnya pendekatan untuk mempromosi kesedaran awam dan
penglibatan awam perlu diberi penekanan seperti berikut: -
i) Media yang bebas dan telus melaporkan
kegiatan rasuah,
ii) Meningkatkan akses rakyat terhadap maklumat
khususnya di kawasan luar bandar;
iii) Menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai
isu-isu integriti dan penyalahgunaan kuasa.
iv) Membangunkan kesedaran sivik yang lebih tinggi
demi untuk memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti di kalangan
rakyat;
v) Universiti dan institusi pengajian tinggi
perlu memupuk nilai-nilai integriti di kalangan mahasiswa untuk mengubah
persepsi mereka terhadap rasuah;
vi) SPRM boleh memainkan peranan penting untuk
memupuk nilai-nilai positif di semua maktab perguruan supaya guru-guru boleh
menyampaikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar untuk masa depan mereka.
Usaha memerangi rasuah juga perlu bermula di sekolah-sekolah
melalui penekanan yang lebih tinggi kepada pengajaran dan pengamalan
nilai-nilai murni di kalangan generasi muda kita tentang keperluan untuk
membangunkan satu budaya kejujuran dan integriti serta menjadikan ia satu cara
hidup sebagai pelapis kepimpinan negara di masa depan.
Jika boleh satu kurikulum perlu diperkenalkan di bilik
darjah untuk membolehkan pelajar-pelajar diajar tentang keburukan rasuah dan
mengapa ia tidak boleh dibiarkan.
Kita tidak boleh membanteras rasuah dengan berkesan jika
kita abaikan nilai-nilai, moral, etika dan integriti. Pemupukan nilai dan
integriti harus bermula dengan golongan muda ketika mereka di bangku sekolah.
Tan Sri Lee Lam Thye ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan
1Malaysia.
Sumber: Utusan Melayu
0 Comments