Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk
pelbagai tujuan seperti pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran,
kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan sifat
sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan dihadapan ribuan
penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian di kolam atau
laut dilihat sebagai aktiviti rekreasi.
Sukan ialah salah satu aktiviti riadah. Sebahagian besar
kegiatan lapang, surat khabar, dan televisyen diberikan kepada sukan. Sukan
dapat juga menjadi sumber pendapatan.
Pendekatan pragmatik dalam mendefinisikan sukan ialah dengan
melihat kegunaan umum istilah tersebut. Sukan ialah aktiviti yang mengandungi
kemahiran berguna secara rekreasi serta peraturan tertentu dalam mengejar
kecemerlangan.
Kecemerlangan yang dimaksudkan ialah kemampuan untuk
mengatasi tanda aras terdahulu, catatan masa, rekod dunia, dan sebagainya.
Sukan fizikal menggunakan sifat sifat seperti kekuatan,
stamina, kelajuan, dan beberapa kemahiran lain manakala sukan-sukan lain
contohnya iaitu sukan akal menggunakan kemahiran berfikir seperti pemikiran
strategik dalam catur.
Terdapat perbezaan antara sukan, permainan, dan latihan.
Sekiranya aktiviti itu melibatkan
peserta yang berkemahiran ianya dikira sukan. Permainan pula tidak mempunyai
tujuan yang jelas tetapi boleh berubah kepada sukan. Latihan pula ialah
aktiviti yang bertujuan membina kemahiran dan kemampuan seseorang dalam
aktiviti sukan.
Sejarah pembangunan sukan boleh mengajar kita mengenai
perubahan sosial yang berlaku dan sifat sukan tersebut. Untuk itu, kita akan
kembali ke masa lampau sehingga zaman pra sejarah untuk mengkaji sukan dan
manusia.
Semangat kesukanan mampu mencorakkan peribadi positif
seseorang. Penyertaan dalam sukan menjadikan diri lebih bersemangat, berani
bertarung, taktikal, positif dan lain-lain lagi. Ahli sukan menonjolkan sifat
keberanian dengan bertarung dengan pihak lawan demi memenangi sesuatu
perlawanan. Justeru, mereka juga berani mempertahankan maruah bangsa dan
negara.
Walau bagaimanapun tekanan pertandingan, kejayaan individu,
atau pengenalan pada teknologi akan menyebabkan perkara yang sebaliknya berlaku
pada peserta. Dengan kata lain, dalam sesuatu pertandingan, kekalahan akan
menyebabkan rasa kecewa dan kesedihan.
Penggiat sukan rekreasi selalunya akan mendapatkan
pengiktirafan sebagai satu jenis sukan daripada persatuan sukan seperti
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atau dengan mewujudkan badan penyelaras
mereka sendiri. Dengan ini, sukan berubah daripada aktiviti rekreasi kepada
sukan yang lebih formal. Contoh sukan yang baru muncul ialah berbasikal BMX,
meluncur dan sebagainya.
Aspek hiburan dalam sukan, media massa yang meluas dan
pertambahan waktu lapang telah membawa kepada profesionalisme dalam sukan. Ini
telah menyebabkan beberapa konflik, di mana bayaran dilihat lebih penting
daripada aspek rekreasinya atau sukan telah menjadi lebih menguntungkan dan
terkenal yang akhirnya menyebabkan kehilangan tradisi bagi sesetengah orang
atau masyarakat. Contoh yang paling ketara ialah bola sepak telah mengubah
pengisian masa lapang bagi hampir seluruh populasi dunia.
0 Comments