2016 - Cikgu BM Tingkatan 5

Hot

Post Top Ad

Friday, May 6, 2016

Bahasa Melayu Kertas 2 Peperiksaan SPM 2008 - Soalan 1: Rumusan

5:46 PM 0

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.




Pembabitan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas bermula pada awal 90-an sedangkan bidang tersebut telah diceburi lebih awal lagi oleh sesetengah negara lain. Pada mulanya rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada penglibatan dalam bidang angkasa lepas itu benar-benar berbaloi dengan kos tinggi yang dilaburkan. Walau bagaimanapun, persoalan itu telah terjawab apabila Malaysia diakui sebagai antara negara yang memiliki sistem komunikasi yang terbaik di dunia.

Belakangan ini, Malaysia terus mengorak langkah dalam bidang tersebut apabila melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas melalui kerjasama dengan beberapa buah negara lain. Pemilihan calon angkasawan pertama negara tidak menghadapi sebarang masalah kerana ramai peserta telah menawarkan diri untuk menyertainya. Calon-calonnya terdiri daripada pendidik, doktor, jurutera, saintis dan juruterbang. Kejayaan program ini memberikan impak yang besar kepada negara untuk terus maju dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Melalui program ini juga, negara dapat menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara yang sudah maju dalam bidang tersebut. Secara tidak langsung, kerjasama dengan negara-negara terbabit membolehkan rakyat Malaysia mencontohi cara mereka bekerja dalam bidang tersebut.

Masyarakat, yang pada suatu ketika dahulu ragu-ragu akan manfaat penerokaan angkasa lepas, kini menerima hakikat bahawa sistem komunikasi yang semakin canggih ialah hasil daripada penerokaan angkasa lepas. Kecanggihan sistem komunikasi ini, seperti penggunaan internet, telah menyebabkan bidang perniagaan dan pemasaran semakin meluas. Kita boleh mencontohi negara-negara maju yang menggunakan internet untuk tujuan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Selain itu, peluang pekerjaan dan perkhidmatan turut berkembang seiring dengan perkembangan sistem komunikasi ini.

Satu lagi bukti pembabitan Malaysia dalam bidang angkasa lepas ialah pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas. Menerusi pelancaran satelit ini, sistem komunikasi negara terus berkembang maju yang akhirnya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat. Kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui satelit. Sesungguhnya, kejayaan dalam penerokaan angkasa lepas ini bukan sahaja dapat memperluas bidang tersebut, tetapi turut memberikan suntikan dalam perkembangan bidang-bidang lain seperti pendidikan, penyelidikan, dan perubatan. Program penerokaan angkasa lepas ini mempunyai peluang cerah untuk berkembang pada masa hadapan. Oleh sebab itu, langkah yang sistematik harus diambil supaya suatu hari nanti Malaysia dapat melahirkan lebih banyak angkasawan bagi membuktikan kehebatan negara dalam bidang angkasa lepas.

                                                                                               Dipetik dan diubahsuaikan daripada
                                                                               'Meneroka Angkasa Lepas' oleh Haslin Ghafur,
                                                                                                         Utusan Malaysia, 26 Mei 2006

Rangka jawapan.


     Petikan membincangkan faedah-faedah (kebaikan-kebaikan) penerokaan angkasa lepas di Malaysia.

     Faedah-faedahnya ialah __________________________. Selain itu, _________________________. Seterusnya, _______________________________. Di samping itu ____________________________.  Selanjutnya, _________________. Selain itu, _______________________________.

     Cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas ialah ___________________________________. Selain itu, ___________________________________

     Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama bagi menyokong/meningkatkan (cadangan) _______________ (tajuk) agar ________________ (harapan).



Contoh jawapan di sini.

Read More

Thursday, May 5, 2016

Kertas 2 Peperiksaan SPM 2007 - Soalan 1: Rumusan

8:15 PM 0
Baca Petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


SPM Kertas 2


Pada masa ini Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber dan kenal jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan,antaranya termasuklah disiplin murid di sekolah-sekolah.

 Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di samping ratusan aduan yang dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah disiplin dengan lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin. Selain itu , maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.

Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak sekolah bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka.

 Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan, denda,gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes itu mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin akan perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah. Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan sistem pendidikan. Kemantapan ini pula bergantung pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masing. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 (Dipetik dan diubahsuaikan daripada
 “Realiti Semasa Masalah Disiplin Pelajar”
 Oleh Noor Khairiyati Mohd. Ali

 Dewan Masyarakat, April 2005)

Rangka jawapan.


     Petikan membincangkan langkah-langkah/cara-cara/kaedah-kaedah menangani masalah disiplin di negara kita.

     Langkah-langkahnya/Cara-caranya/Kaedah-kaedahnya ialah __________________________. Selain itu, ________________________________. Seterusnya, _______________________________. Di samping itu ________________________________.  Selain itu, _______________________________.

     Kesan masalah itu kepada negara ialah ___________________________________. Selain itu, ___________________________________

     Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah disiplin supaya kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera.

Contoh jawapan di sini.

Read More

Tuesday, May 3, 2016

Teknik mengajar karangan pelajar lemah dan galus

5:32 AM 0


Terdapat beberapa teknik P&P Bahasa Melayu (Penulisan) yang berkesan berdasarkan pengalaman dan aplikasi oleh guru-guru yang mengajar pelajar lemah dan Galus. Berikut adalah beberapa strategi atau cara mengajar karangan Bahasa Melayu bagi pelajar lemah dan GaLus.

Teknik 1

Edar contoh karangan lengkap kepada murid. Guru baca bersama murid. Murid menyalin perenggan demi perenggan. Semak ejaan/tanda bacaan. Edar karangan yang sama - dalam bentuk isi tempat kosong sebagai latihan.

Teknik 2

Beri gambar tunggal/bersiri. Bina ayat berdasarkan gambar. Berikan kosa kata yang dominan dengan gambar. Murid mula mengarang. Semak karangan dan kesan tanda baca dan ejaan.

Teknik 3

Edar karangan lengkap. Cari perkataan sukar, catat di papan hitam. Guru/murid - sebut/baca/ulang/terangkan makna perkataan tersebut. Guru menyebut - murid mengeja. Perbetulkan ejaan. Ambil isi karangan dalam perenggan 1 sahaja. Tuliskan di papan hitam. Bina ayat daripada isi karangan. Beri penekanan kepada pemerengganan dan tanda baca.

Teknik 4

Salin contoh karangan. Mengambil imlak. Latihan mengarang/banyak salah buat semula. Baca contoh-contoh karangan. Tampal contoh karangan dalam bilik darjah

http://sepanjang-jalan.blogspot.com/2010/01/teknik-mengajar-penulisan-bagi-pelajar.html

Read More

Monday, May 2, 2016

KAJIAN NOVEL MERENANG GELORA

3:54 AM 0
WATAK & PERWATAKAN WATAK UTAMA

Badri
1.      Anak sulung kepada Mak Siti, abang kepada Badrul.
2.      Seorang pengawas sekolah
3.      Berperawakan segak, berdedikasi dan berwibawa
4.      Bertanggungjawab - sebagai seorang pengawas sekolah, Badri sedar dia harus menggalas tugas berat dan perlu menunjukkan perilaku yang baik
5.      Berdisiplin - Badri tidak pernah melanggar peraturan sekolah
6.      Menepati masa dan seorang yang sistematik - setiap hari, seawal pukul 6.40 pagi Badri sudah menunggu bas awam untuk pergi ke sekolah.
7.      Setia dalam persahabatan - Badri bersahabat baik dengan Jamil dan banyak membantunya dalam pelajaran.
8.      Berani menghadapi cabaran - Badri tidak gentar apabila berdepan dengan pelajar yang berlagak samseng, suka melanggar peraturan, ditangkap menggunakan telefon bimbit semasa di sekolah.
9.      Rajin mengulang kaji pelajaran - mengajak Siew Mei dan Taufik membentuk kumpulan belajar.
10.   Berpendirian teguh atau berprinsip - tidak mengendahkan usikan rakan-rakannya mengenai hubungannya dengan Nadira dan Siew Mei.

Bahasa Melayu SPM

WATAK SAMPINGAN

Shahrul
1.      Salah seorang rakan Badri, anak orang berada
2.      Berkawan baik dengan Kumar dan Meng Kong
3.      Berlagak dan sombong - Shahrul tidak betah tinggal di rumah teres kerana selama ini dia tinggal di rumah banglo.
4.      Materialistik - Shahrul terlibat dalam kegiatan penjualan telefon bimbit yang dicuri semata-mata untuk memperoleh wang bagi membeli barangan mewah dan berjenama.
5.      Suka berfoya-foya - bercampur gaul dengan budak-budak motor dan melepak di kompleks beli-belah.
6.      Berprasangka buruk - menganggap Badri berlagak menjadi pengawas.
7.      Panas baran - Shahrul mencekak kolar baju Kumar agar Kumar mengikut arahannya untuk menjual telefon bimbit secara ansuran.
8.      Mudah terpikat dengan gadis cantik - berani membawa keluar Nadira menunggang motosikal.
9.      Mementingkan diri sendiri – Shahrul meninggalkan Nadira keseorangan ketika polis cuba menangkap rakan-rakan mat rempitnya.
10.   Memperalat orang lain untuk tujuan jahatnya – Shahrul menyuruh Kumar untuk memasukkan sesuatu ke dalam beg Meng Kong supaya Meng Kong dibuang asrama.
11.   Pendendam – Shahrul meminta Din untuk memukul Badri bagi melepaskan dendamnya terhadap Badri.

Nadira
1.      Seorang pelajar perempuan baru berpindah dari Sekolah Menengah Badrul Shah, Kedah yang mengikut ayahnya bertugas di Kuala Lumpur.
2.      Sahabat Badri dan Shahrul dalam kelas 5 Bestari.
3.      Tidak berpendirian tegas - Nadira mudah dipengaruhi Shahrul untuk mempercayai kes telefon bimbit yang dijumpai di dalam beg Badri.
4.      Mengalami kejutan budaya - setelah berada di Kuala Lumpur dan berkawan dengan Shahrul, Nadira memakai jeans ketat dan baju senteng.
5.      Ego dan sombong - bersikap bena tidak bena akan nasihat Badri agar tidak terpengaruh dengan Shahrul yang suka menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah.
6.      Tidak mendengar nasihat - Nadira enggan menerima nasihat kakaknya, Nurul Ain yang menegur tentang penampilannya.
7.      Tidak menghormati orang lain – meninggikan suara ketika kakaknya menegur tentang pakaiannya yang agak terdedah dan mencolok mata.
8.      Suka membazirkan masa – sering membazirkan masa dengan bersiar-siar dan melepak di kompleks beli belah bersama-sama Shahrul.

Meng Kong
1.      Anak kepada Encik Tan, pemilik kedai telefon bimbit.
2.      Rakan kepada Shahrul dan Kumar
3.      Tidak jujur - Meng Kong mencuri kad prabayar dan telefon bimbit lalu dijual kepada pelajar di sekolahnya.
4.      Mata duitan atau materialistik - Meng Kong sanggup mencuri telefon bimbit di kedai ayahnya untuk mendapatkan wang sehingga mencecah hampir dua ribu ringgit.
5.      Insaf akan kesalahan yang dilakukan - setelah bapanya mengetahui perbuatan jahatnya melalui rakaman CCTV, dia memohon maaf daripada ayahnya dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.
6.      Patuh dan taat kepada ibu bapa - Meng Kong sanggup tinggal di asrama sekolah sepertimana yang diarahkan oleh bapanya.

Kumar
1.      Rakan kongsi kepada Shahrul dan Meng Kong dalam perniagaan menjual telefon bimbit dan kad prabayar kepada pelajar sekolah.
2.      Menyimbah air ke atas Badri semasa Badri di dalam tandas.
3.      Benci dan marah terhadap Badrul yang menyebabkan telefon bimbitnya dirampas oleh Cikgu Jailani.
4.      Mata duitan atau materialistik – Kumar bersama dua rakan karibnya Shahrul dan Meng Kong terlibat dalam kegiatan penjualan telefon bimbit dan kad prabayar untuk memperoleh wang lebih.
5.      Mudah dipergunakan oleh orang lain – Kumar cuba memfitnah Meng Kong supaya Meng Kong dibuang asrama atas arahan Shahrul.
6.      Insaf akan kesalahan yang dilakukan – Tidak mahu lagi dipergunakan oleh Shahrul. Sedar bahawa dia telah banyak ketinggalan dalam pelajarn.
7.      Berubah menjadi baik setelah beberapa kali diberi sesi kaunseling – mula akrab dengan Badri dan mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

Jamil
1.      Kawan baik kepada Badri. Menasihati Badri tentang risiko menjadi pengawas.
2.      Terlibat dalam bisnes menjual telefon bimbit terpakai dan kad prabayar yang dijalankan oleh Shahrul, Meng Kong dan Kumar.
3.      Menjauhkan diri daripada Badri setelah Badri mengetahui kegiatannya.
4.      Kelurganya menghantar Jamil ke Sarawak setelah mendapati dia mempunyai masalah dengan kumpulan Shahrul, Meng Kong dan Kumar.
5.      Insaf akan kesalahan yang dilakukan - berhenti daripada menjual barangan milik
6.      Meng Kong setelah Meng Kong menuduhnya mencuri telefon bimbit.

Cikgu Jailani
1.      Guru Matematik dan guru disiplin sekolah.
2.      Tegas - dia mengambil tindakan tegas kepada pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin.
3.      Adil - mengarahkan supaya para pengawas mengawasi kawasan sekitar sekolah secara bergilir-gilir dalam bentuk berpasukan yang terdiri daripada 3 orang pengawas.
4.      Rasional - menyelidiki kes Badri disiram air ketika berada di dalam tandas dan kes telefon bimbit yang dijumpainya di dalam beg Badri.

5.      Bertolak ansur - meskipun Kumar kerap melakukan kesalahan tetapi setelah Kumar memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya, akhirnya cikgu Jailani tidak menggantung persekolahannya.
Read More

Friday, April 29, 2016

Karangan Bahasa Melayu SPM - Strategi membina perenggan 7 bintang

2:07 AM 0

Karangan BM SPM

Catatan:
Ø
Ungkapan menarik boleh terdiri daripada peribahasa, simpulan bahasa, bidalan, pepatah, perumpamaan, maksud peribahasa asing, maksud ayat Al-Quran atau hadis, kata-kata orang-orang cerdik pandai atau ahli falsafah dan juga moto atau slogan.
ØFakta Menarik dan Tepat perlu dimasukkan dalam setiap karangan. Fakta menarik akan membantu mengukuhkan sesuatu karangan agar kelihatan seperti betul, tepat dan sahih sumbernya. Fakta tepat diperolehi melalui pembacaan sama ada dalam media cetak mahupun media elektronik
Ø
Penanda Wacana Menarik juga membantu kejelekitan dalam sesebuah karangan sama ada kejelekitan dalam sesuatau perenggan sewaktu mengolah sesuatu isi mahupun kejelekitan antara perenggan, iaitu antara suatu isi dengan isi-isi yang lain.
ØHuraian Ayat Contoh merupakan ayat yang menghuraikan contoh yang diberi. Sesuatu contoh yang diberikan dalam menghuraikan sesuatu isi haruslah dihuraikan dengan baik. Huraian contoh ini perlu menggunakan ayat-ayat yang ampuh dan dicanai dengan baik
1.
PANDUAN MUDAH UNTUK MENULIS SATU PERENGGAN ISI 7 BINTANG BAGI BAHAGIAN A DAN B.
2.
PENANDA WACANA
Penanda Wacana merupakan perangkai ayat untuk menentukan perkaitan atau kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenngan. Beberapa penanda wacana yang sering digunakan adalah seperti berikut :
·         Selain itu.
·         Akhirnya.
·         Pada umumnya.
·         Keadaan ini.
·         Seterusnya.
·         Keseluruhannya.
·         Namun begitu
·         Jadi.
·         Tegasnya.
·         Akibatnya.
·         Sementara.
·         Dalam nada berbeza.
·         Begitu jua
·         Kalau demikian.
·         Sebaliknya.
·         Walau bagaimanapun.
·         Sejajar dengan itu.
·         Walaupun.
·         Sebelumnya.
·         Meskipun demikian.
·         Kesimpulannya
·         Kini,
·         Oleh hal demikian,
·         Pada amnya,
·         Khususnya,
·         Dengan perkataan lain,
·         Pada keseluruhannya,
·         Ringkasnya,
·         Jelaslah,
·         Tuntasnya,
·         Intihannya,
·         Oleh itu,
·         Selain itu,
Untuk menulis Ayat Topik anda perlu menjawab soalan berikut.
+
Apakah isi yang menepati tugasan, tema atau kehendak soalan?
Untuk menulis Ayat-ayat Huraian anda boleh menggunakan soalan-soalan berikut.
+
Mengapakah isi ini berkaitan dengan tugasan?
+
Bagaimanakah isi ini dapat diaplikasikan?
+
Apakah impak atau kesan jika isi ini dilaksanakan?
+
Siapakah yang terlibat dengan isi ini?
+
Apakah ungkapan menarik yang dapat digunakan untuk menggambar apa-apa situasi yang berlaku semasa isi ini dikembangkan?
+
Apakah faedah yang diperoleh jika isi ini diaplikasikan?
Pilih dan gunakan soalan yang sesuai sahaja. Untuk menulis Ayat Contoh anda boleh menjawab soalan-soalan berikut.
Apakah contoh, pendapat orang ternama atau fakta yang sesuai dengan isi ini?
Apakah kaitan contoh ini dengan isi?
Bagaimanakah contoh, pendapat orang ternama atau fakta ini dapat membantu menguatkan hujah anda bagi isi ini?
Apakah ungkapan menarik yang boleh digunakan untuk ayat contoh?
Peringatan : Elakkan daripada menggunakan kata hubung sebagai penanda wacana.
Adakah contoh atau nama yang digunakan benar dan tepat?
1.
Penanda Wacana Untuk Memulakan
Untuk menulis Ayat Penegas anda boleh menggunakan mana-mana satu soalan berikut.
Ayat Pendahuluan Karangan.
+
Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu…
Apakah perkaitan isi ini dengan tugasan, tema atau kehendak soalan?
+
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba akal serta minda kita telah….
Apakah impak isi ini kepada tugasan?
Adakah contoh atau nama yang digunakan benar atau tepat?
+
Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.
+
Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat…
Peringatan.
Semua jawapan mesti ditulis dalam satu perenggan.
+
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan Negara yang semakin gah di persada dunia kita
Susun jawapan anda mengikut kesesuaian atau keutamaan
Gunakan penanda wacana untuk menjamin kesinambungan ayat-ayat.
Gunakan istilah-istilah baru seperti cakna, culas, luwes, anggun dan sebagainya.
Read More

Wednesday, April 27, 2016

Strategi Khusus Menulis Karangan Bahasa Melayu SPM Bahagian A dan Bahagian B

8:21 PM 2
1. STRATEGI PENULISAN KARANGAN BAHAGIAN A 2. STRATEGI PENULISAN KARANGAN BAHAGIAN B
#
Pelajar perlu memahami dan menjawab tugasan yang diberikan dalam soalan.
# Pelajar perlu memahami dan menjawab tugasan yang diberikan dalam soalan.
#
Karangan Bahagian A yang ditulis mestilah mempunyai 5/6 perenggan iaitu:
# Karangan Bahagian B yang ditulis mestilah mempunyai 8 perenggan iaitu:
+
1 Perenggan Pendahuluan
+
1 Perenggan Pendahuluan
+
3 / 4 Perenggan isi
+
6 Perenggan isi
+ 1 Perenggan Penutup + 1 Perenggan Penutup
#
Perenggan Pendahuluan hendaklah ditulis minimum 50 patah perkataan.
#
Perenggan Pendahuluan hendaklah ditulis minimum 80 patah perkataan.
#
Setiap perenggan isi pula mestilah ditulis minimum 80 patah perkataan. Perenggan isi biasanya terdapat:
#
Setiap perenggan isi pula mestilah ditulis minimum 100 patah perkataan. Perenggan isi biasanya terdapat:
+
Isi utama.
+ Isi utama.
+
Ayat-ayat huraian yang menyokong isi utama.
+
Ayat-ayat huraian yang menyokong isi utama.
+
Ayat contoh.
+ Ayat contoh.
+
Ayat Penegas
+
Ayat Penegas
#
Perenggan Penutup mestilah ditulis secara seimbang dengan panjang perenggan pendahuluan iaitu minimum 70 patah perkataan.
# Perenggan Penutup mestilah ditulis secara seimbang dengan panjang perenggan pendahuluan iaitu minimum 80 patah perkataan.
#
Isi yang ditulis wajib berdasarkan semua isi (bahan ransangan) yang diberikan dalam soalan sama ada tiga atau empat isi.
#
Masukkan ungkapan menarik ke dalam perenggan isi atau penutup. Ungkapan menarik boleh berupa peribahasa, cogan kata, slogan, maksud hadis atau ayat Al-Quran dan kata-kata hikmat oleh orang cerdik pandai atau peribahasa daripada bahasa lain.
# Masukkan ungkapan menarik ke dalam perenggan isi atau penutup. Ungkapan menarik boleh berupa peribahasa, cogan kata, slogan, maksud hadis atau ayat Al-Quran dan kata-kata hikmat oleh orang cerdik pandai atau peribahasa daripada bahasa lain.
#
Tulis karangan ini dalam masa 45 minit.
#
Tulis karangan ini dalam masa 1 jam 30 minit.
#
Boleh menulis melebihi 250 patah perkataan asalkan masa anda menulis tidak melebihi masa 45 minit.
+
10 minit pertama.

Baca kesemua lima soalan yang diberikan dalam bahagian B.
# Tulisan mesti boleh dibaca dengan jelas. #
Pilih satu soalan yang anda yakin boleh menjawab.
#
Buat rangka karangan. Gunakan peta minda.
wab.
+
1 jam 15 minit seterusnya
>> Mula menulis karangan
+
5 minit terakhir
>> Semak ayat dan ejaan.
#
Bilangan patah perkataan mesti melebihi 350 patah perkataan.
#
Ikut format sekiranya karangan berformat
#
Pastikan tulisan anda boleh dibaca dengan jelas.
Read More

Tuesday, April 19, 2016

Rencana - Sukan Boleh Jadi Kerjaya Menguntungkan

12:59 AM 0
Nama seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Azizul Hasni Awang dan Rashid Sidek antara ikon besar sukan di Malaysia. Mereka mencipta nama menerusi bakat dan minat mendalam melalui sukan diceburi. Hasilnya, mereka menjadikan sukan sebagai punca pendapatan dan memberikan fokus secara sepenuh masa sebagai kerjaya.

Rencana Sukan SPM

Baru-baru ini, kalendar sukan negara dimeriahkan dengan penganjuran Kejohanan Sukan Antara Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) 2016 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor. Kejohanan menghimpunkan hampir 8,000 atlet dari seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia itu, turut menarik penyertaan kalangan ahli ASEAN Universiti Sports Council (AUSC) serta atlet kelainan upaya (OKU).

Perkembangan positif ini sudah pasti mampu melahirkan atlet berpotensi tinggi dan dapat bersaing pada peringkat antarabangsa.

Mutu sukan negara

Melihat senario pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura, hampir 60 peratus atlet yang mewakili negara ke temasya itu adalah penuntut di institusi pendidikan tinggi yang dicungkil daripada penganjuran SukIPT edisi terdahulu. Melihat prospek ini, sudah tentu memberi impak kepada mutu sukan negara pada masa akan datang bukan sahaja pada peringkat ASEAN dan Asia, malah ke peringkat Sukan Komanwel serta Olimpik.

Di Malaysia, bakat sukan dicungkil seawal peringkat sekolah rendah melalui sukan antara sekolah pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Namun, tidak ramai anak di Malaysia didedahkan dengan dunia sukan pada usia muda untuk ditanam minat dan seterusnya dicungkil bakatnya selepas dewasa.

Karier sejak usia muda

Shalin Zulkifli, nama yang tidak asing dalam sukan boling dan bermain boling seawal usia 8 tahun. Nicol David, ratu skuasy negara pula mula bermain skuasy seawal usia 5 tahun dan lihatlah bagaimana beliau begitu cemerlang pada hari ini. Bintang dunia seperti Tiger Woods (golf), Roger Federer (tenis), Christiano Ronaldo (bola sepak), Kobe Bryant (bola keranjang) dan Lewis Hamilton (pemandu F1) adalah antara watak yang sinonim dalam kancah sukan dunia yang memulakan karier mereka pada usia muda.

Sukan dijadikan karier sepenuh masa oleh bintang ini dan kejayaan mereka ini pasti dikenang sepanjang zaman.

Jika dilihat kepada pendapatan diperoleh atlet dunia ini, sukar untuk kita membayangkan rata-rata mereka adalah jutawan yang berpendapatan puluhan, malah ratusan juta ringgit hasil kemenangan, gaji dan tajaan yang mereka peroleh.

Atlet dunia bertaraf jutawan

Menurut laman Forbes, Tiger Woods dilaporkan pada tahun lalu memperoleh pendapatan RM192 juta. Roger Federer memperoleh sebanyak RM254 juta, Christiano Ronaldo menerima RM302 juta, manakala Floyd Mayweather (tinju) dilaporkan memperoleh pendapatan sebanyak RM1.14 bilion iaitu pendapatan tertinggi seorang ahli sukan pada tahun 2015.

Jika diamati sukan badminton sebagai contoh, pada 2015 sahaja sebanyak RM23.18 juta hadiah ditawarkan dalam jelajah Supersiries yang dianjurkan sepanjang tahun lalu. Maka, tidak hairanlah jika Chong Wei dilaporkan pernah memiliki pendapatan antara RM2 juta hingga RM3 juta sebelum ini. Sudah pasti bukan hadiah kemenangan sahaja yang diperoleh, malah habuan daripada syarikat penajaan juga menanti.

Bagaimanapun, untuk mencapai ke tahap itu bukanlah perkara mudah. Kesabaran, keazaman dan semangat tinggi serta tidak kenal erti berputus asa perlu tersemat dalam diri atlet terutama yang mahu bertapak di persada dunia. Untuk Malaysia melahirkan lebih ramai lagi atlet berprestasi tinggi, fasiliti dan kemudahan sukan bukanlah isu utama pada masa ini kerana semua sudah tersedia serba canggih.

Komitmen syarikat korporat selaku entiti yang memberi penajaan juga jarang mengecewakan. Kebanyakan syarikat korporat ini sedia memberi jutaan ringgit sebagai pelaburan dalam bentuk penajaan selagi mana sukan atau atlet itu mampu mempamer kecemerlangan. Lihat sahaja situasi bola sepak negara pada hari ini, ratusan juta dilabur demi meraih pulangan jangka masa panjang di samping merancakkan persaingan dan pembangunan industri sukan itu sendiri. 

Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Hal Ehwal Korporat, Universiti Teknologi Malaysia


Selanjutnya di : Berita Harian

Read More

Wednesday, January 20, 2016

Basmi rasuah dengan nilai dan intergriti

8:52 PM 0

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dilaporkan membuat kenyataan pada Hari Terbuka SPRM baru-baru ini bahawa Kabinet telah meluluskan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan autonomi yang bebas daripada Perkhidmatan Awam.


Rakyat Malaysia sudah pasti mengalu-alukan usaha-usa­ha yang sedang dilakukan bagi menjadikan SPRM sebuah badan yang benar-benar bebas dalam memerangi rasuah.

Ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah jurang fahaman politik harus memberi sokongan penuh dan padu terhadap apa-apa pindaan undang-undang untuk menjadikan SPRM benar-benar bebas dan berkesan dalam memerangi gejala rasuah di negara ini.

Untuk memastikan bahawa SPRM benar-benar berwibawa dan digeruni oleh semua, ia mesti diberikan kuasa sama se­perti Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong yang telah diketahui amat berkesan dalam membanteras rasuah.

Ahli-ahli politik tanpa mengira fahaman politik dan ideologi perlu bersatu dalam memerangi jenayah terbesar di negara ini iaitu rasuah.

SPRM harus diberi pujian terhadap usaha membanteras rasuah setakat ini dan yang pasti mereka akan boleh melakukannya dengan lebih baik untuk memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara jika ia boleh berfungsi sebagai sebuah badan autonomi yang bebas daripada per­khidmatan awam.

Jika ia hendak dilihat benar-benar bebas, maka perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menempatkan semula pejabat SPRM di luar Kompleks Perdana Menteri dan meletakkannya di tempat yang sesuai.

Rasuah telah bersama kita sejak awal pembangunan manusia. Namun kita tidak boleh berasa lega dan leka berkaitan isu rasuah kerana ia menyerang bukan sahaja fabrik ekonomi dan sosial masyarakat malah juga menggugat asas-asas mo­ral pemerintahan.

Perilaku

Rasuah adalah meluas, ia mampu menjangkau hampir dalam setiap aspek kehidupan. Ia wujud dalam pelbagai bentuk selagi orang ramai berinteraksi dengan pihak berkuasa.

Ia telah terbukti dalam pelbagai keadaan di mana seseorang individu yang terlibat dengan perilaku rasuah adalah kerana tamak dan peluang untuk melakukan amalan rasuah. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa ketamakan merupakan faktor utama di sebalik kebanyakan perilaku amalan rasuah.

Pegawai yang terlibat dalam amalan rasuah kebanyakannya ialah golongan yang sepatutnya bertanggungjawab bagi pe­nguatkuasaan undang-undang. Untuk membasmi amalan ini, semua agensi penguatkuasaan undang-undang perlu mempunyai sistem audit dan kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Usaha berterusan perlu dilakukan untuk memupuk integriti dan nilai-nilai etika yang tinggi kerana orang yang berintegriti tidak mungkin melakukan amalan rasuah dalam apa jua keadaan.

Penerapan nilai-nilai murni dan etika dengan disertai kepatuhan kepada sumpah tadbir urus yang baik adalah cara yang paling berkesan untuk memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Untuk memerangi rasuah kita perlu membina insentif yang kukuh dan segala perilaku rasuah adalah tertakluk kepada penelitian awam.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendidik rakyat terhadap bagaimana mereka boleh melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab mereka sebagai masyarakat dan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian secara aktif dalam usaha untuk menambah baik tadbir urus negara.

Khususnya pendekatan untuk mempromosi kesedaran awam dan penglibatan awam perlu diberi penekanan seperti berikut: -

i)     Media yang bebas dan telus melaporkan kegiatan rasuah,
ii)    Meningkatkan akses rakyat terhadap maklumat khususnya di kawasan luar bandar;
iii)   Menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai isu-isu integriti dan penyalahgunaan kuasa.
iv)   Membangunkan kesedaran sivik yang lebih tinggi demi untuk memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti di kalangan rakyat;
v)    Universiti dan institusi pengajian tinggi perlu memupuk nilai-nilai integriti di kalangan mahasiswa untuk me­ngubah persepsi mereka terhadap rasuah;
vi)   SPRM boleh memainkan peranan penting untuk memupuk nilai-nilai positif di semua maktab perguruan supaya guru-guru boleh menyampaikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar untuk masa depan mereka.

Usaha memerangi rasuah juga perlu bermula di sekolah-sekolah melalui penekanan yang lebih tinggi kepada pengajaran dan pengamalan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda kita tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya kejujuran dan integriti serta menjadikan ia satu cara hidup sebagai pelapis kepimpinan negara di masa depan.

Jika boleh satu kurikulum perlu diperkenalkan di bilik darjah untuk membolehkan pelajar-pelajar diajar tentang keburukan rasuah dan mengapa ia tidak boleh dibiarkan.

Kita tidak boleh membanteras rasuah dengan berkesan jika kita abaikan nilai-nilai, moral, etika dan integriti. Pemupukan nilai dan integriti harus bermula dengan golongan muda ketika mereka di bangku sekolah.


Tan Sri Lee Lam Thye ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Sumber: Utusan Melayu

Read More

Post Top Ad

Your Ad Spot